Mavi Marmara simbolik kepada masyarakat Dunia

PENGKALAN CHEPA 12 Jun - Wakil tertinggi HAMAS iaitu Muneer Saeed Garada dari Gaza, menyifatkan konvoi misi bantuan kapal Mavi Marmara di pengairan antarabangsa adalah merupakan simbolik kepada masyarakat dunia  bahawa rakyat Palestin dalam keadaan kesempitan dan sangat memerlukan bantuan.  


Beliau, tetamu jemputan PAS untuk muktamar ke-56  itu bagaimanapun menyatakan rasa kesal kerana hanya mampu membuat pemantauan dari jauh semasa pelayaran itu dimulakan, kerana pada masa yang sama masyarakaat Gaza sentiasa diancam dengan pembunuhan.


Sebagai mewakili masyarakat Gaza, beliau memberitahu bahawa rakyat di Gaza sangat mengharapkan bantuan dari seluruh masyarakat dunia terutamanya dari negara-negara Islam.


"Masyarakat Gaza sangat memerlukan bantuan dari segi bekalan ubat-ubatan,makanan dan segala jenis bentuk bahan binaan seperti bata, simen, besi dan sebagainya," ujarnya dalam temuramah khas bersama pasukan IT PAS petang tadi.


Jelasnya, sekatan bantuan yang sampai kepada rakyat Palestin terutama sekali bantuan berbentuk bahan binaan telah lama di sekat tentera zionis Israel.


Manakala bantuan makanan turut disekat dan jika ada yang sampai kepada rakyat Palestin pun akan dicatu untuk simpanan sebulan. Bantuan makanan dan bahan binaan lain yang sampai akan dihantar semula kepada agensi yang menghantar bantuan tersebut.


"Israel dan Zionis sangat berharap rakyat Palestin hidup dalam kebuluran, supaya dengan penindasan seperti ini, HAMAS akan tunduk dan mengalah kepada Israel," jelasnya.


Namun, HAMAS melalui tarbiyah dan didikan al-Quran tidak sekali mengalah, malah lebih mengorak langkah dan pelbagai kaedah dibina bagi memastikan kemenangan berpihak kepada HAMAS.


"Dalam kesempitan kehidupan yang dilalui oleh umat Islam di Gaza, kami dapat menguruskan dan mentadbir gerakan kami dengan baik di samping merancang pelbagai strategi yang termampu," ujarnya.


Tambah beliau, "Sebenarnya memang tidak dinafikan bantuan agak sukar untuk sampai kepada HAMAS,dan HAMAS tidak mempunyai cara lain kecuali dengan menggunakan lorong terowong di bawah tanah untuk memperolehi sebarang bantuan makanan".


Beliau yang hadir bersama isterinya Ummu Rahman turut merakamkan rasa sukacita di atas jemputan PAS dalam Muktamar Tahunan ini dan menyatakan pertemuan dalam majlis-majlis seperti ini mampu menghasilkan perbincangan yang lebih mantap di antara gerakan Islam.  


Mengakhiri temuramah itu beliau mengharapkan agar Parti Islam PAS dapat menegakkan Islam di Malaysia, beliau turut menyatakan PAS merupakan sebuah gerakan yang unik dan keunikan PAS tidak wujud dalam parti gerakan Islam yang lain.


Sebagai wakil dari HAMAS yang membawa pesanan dari Gaza, beliau berharap agar PAS dapat membina sebuah projek masa depan untuk masyarakat Islam di Gaza. Beliau yang menghadiri jemputan muktamar bersama isteri akan bertolak pulang ke Syria pada  esok hari.